IPOH – Anggota pasukan bomba sukarela (PBS) yang hilang selepas terjatuh ke dalam tasik di Jalan Lahat Mines, Lahat pada Ahad lalu, ditemukan mati lemas malam semalam.
Mayat anggota PBS Menglembu, Ka-Jun Cheng Siew, 25, ditemukan pasukan bomba pada pukul 10.18 malam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa dijumpai oleh pasukan bomba yang membuat pencarian di permukaan tasik.
“Mayat mangsa ditemui terapung dengan jarak kira-kira 70 meter dari tebing berhampiran lokasi tempat lelaki itu dipercayai tenggelam,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota PBS yang menaiki bot bersama pemandu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu berkenaan membuat pusingan U di tengah tasik.
Dalam kejadian itu, pemandu bot berjaya diselamatkan oleh rakan PBS yang lain, manakala mangsa dipercayai telah tenggelam ke dalam tasik.
Jarak mangsa dipercayai terjatuh dianggarkan kira-kira 150 meter dari tebing.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama pasukannya hampir selesai menjalankan aktiviti latihan dan pengujian bot di tasik berkenaan.
Berikutan kes itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat lima siri selaman dengan jumlah keseluruhan 17 kali selaman anggota.
Selain itu, seekor anjing bernama Denti dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut digerakkan dalam operasi mencari mangsa. – KOSMO! ONLINE














