KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) telah melengkapkan siasatan terhadap seorang pelajar universiti itu yang tular menghina agama Islam termasuk memijak kitab suci al-Quran.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, siasatan yang dilakukan jawatankuasa khas itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengajian tinggi sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Universiti telah selesai menjalankan siasatan terhadap pelajar berkenaan dan kini dalam proses pendakwaan.
“Makluman rasmi mengenai keputusan tatatertib akan dibuat dalam masa terdekat,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya pihak universiti tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan penghinaan terhadap agama dan menghasut.
Katanya, jika sabit kesalahan, pelajar terbabit boleh dihukum sehingga dibuang daripada universiti merujuk kepada Kaedah 58, Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) Tatatertib Pelajar 2024.
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang pelajar UMPSA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan iaitu memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial.
Bagaimanapun tertuduh S.Vikneswaran,21, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohammad.-KOSMO! ONLINE














