PONTIAN – Mangsa ribut yang kini telah memasuki hari keenam tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS ) Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas, di sini, tidak sabar untuk pulang berpuasa sekali gus berhari raya di rumah sendiri.
Walaupun mendapat segala kemudahan serta makan dan minum yang cukup bagi berbuka puasa dan bersahur, namun keadaan itu tidak sama dengan suasana di rumah sendiri.
Suryani Jono, 40, berkata, semua mangsa mendapat juadah berbuka dan bersahur dimasak pengusaha kantin yang dipertanggungjawabkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sepanjang hidup saya, ini merupakan kali pertama merasai tinggal di PPS lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, kami mendapat layanan yang baik di PPS, semua kemudahan ada di sini disediakan pelbagai agensi yang menguruskan kami di sini,” katanya di sini semalam.
Katanya, empat anaknya bersekolah seperti biasa di SK Pengkalan Raja, manakala dua anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Osman Sa’at tidak dapat ke sekolah.
“Pihak sekolah menghantar dua guru kaunseling bagi membantu anak saya yang berusia 14 dan 16 tahun sepanjang mereka berada di PPS ini
“Bagi anak-anak yang bersekolah di Sekolah Agama (SA) Pengkalan Raja, mereka akan ke sekolah bermula esok (hari ini) kerana pakaian mereka telah terkena air hujan,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nurul Amirah Jamin, 29, berkata, selama ini dia selalu melihat keadaan mangsa-mangsa banjir di kaca televisyen, namun kali dia mengalami sendiri keadaan itu.
“Namun berbuka dan bersahur di PPS tidak sama seperti di rumah, namun saya dan suami bersyukur mendapat layanan baik di PPS,” katanya.
Katanya, anak lelaki yang berusia 10 tahun bersekolah seperti biasa di SK Pengkalan Raja dengan memakai baju-T.
“Kalau boleh kami nak cepat balik ke rumah, nak kemas rumah dan buat apa yang perlu untuk sambut raya, tetapi belum ada tarikh sebenar bila kami dibenarkan pulang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (4) Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Kasbon Kasron berkata, perbincangan telah diadakan antara Pejabat Daerah Pontian dengan pemilik rumah sewa supaya kerja-kerja pembaikan dapat segera dilaksanakan melalui kaedah yang diputuskan bersama. -KOSMO! ONLINE














