fbpx
ROTI john antara juadah di bazar Ramadan yang harganya dinaikkan oleh peniaga. - GAMBAR HIASAN

‘Harga juadah bazar naik, ramai tak mampu beli’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Orang ramai memilih untuk berjimat ketika ke bazar Ramadan susulan kenaikan harga beberapa juadah berbuka puasa sehingga 20 peratus berbanding tahun lepas.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya me­nerima aduan pengguna mengenai kenaikan harga makanan di bazar sejak 1 Ramadan lalu yang menyebabkan mereka berkira-kira untuk berbelanja.

“Ada aduan yang kita terima keseluruhannya harga di bazar Ramadan meningkat sedikit iaitu 20 peratus sehingga ada pengguna memilih untuk tidak ke bazar langsung. Ada yang berkunjung ke bazar tetapi membeli apa yang patut sahaja, tidak seperti tahun sebelum ini.

“Pengguna tidak mampu membeli walaupun kita nampak banyak yang ke bazar, namun hakikatnya pengguna terpaksa berfikir panjang dan berhati-hati kerana ingin berjimat ekoran kenaikan harga itu,” katanya pada Kempen Kebersihan Bazar dan Penyerahan Beg Sampah kepada peniaga di Bazar Ramadan Pe­remba, di sini semalam.

Katanya, Cake turut me­nerima maklum balas daripada peniaga bazar yang mendakwa jualan mereka tahun ini menurun berikutan pengguna kini berbelanja secara berhemah.

“Sebelum berpuasa, kita sudah menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga kerana kita mendapati tiada ­peningkatan harga barang mentah yang mendadak. Namun, barang jualan tetap dinaikkan se­perti roti john yang setiap tahun mengalami kenaikan.

“Dulu RM4 hingga RM5 sahaja sekarang sudah jadi RM7 hingga RM8, malah ada juga RM18 untuk yang berjenama. Begitu juga de­ngan kuih muih meningkat dari RM2.50 ke RM3.50,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kempen kebersihan yang diadakan turut bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga mengenai pengurusan sisa di bazar Ramadan.

“Langkah tersebut diambil susulan aduan pengguna yang bimbang terhadap sikap segelintir peniaga yang membuang sampah merata-rata sehingga boleh ­mengundang pencemaran serta penyebaran bakteria,” ­tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI