fbpx
Mohd Azmi

Serangan ketika Ramadan guris maruah umat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran disifatkan sebagai antara krisis geopolitik paling berbahaya dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan yang dilancarkan dalam tempoh suci Ramadan itu dilihat sebagai satu tindakan yang mencabar maruah serta mengguris nurani kolektif umat Islam di seluruh dunia.

Menurut beliau, laporan menunjukkan serangan terkoordinasi oleh Amerika Syarikat dan Israel mensasarkan beberapa lokasi strategik di Iran, sekali gus mencetuskan tindak balas ketenteraan serantau dan meningkatkan kebimbangan konflik lebih luas.

“Ketegangan tersebut kini merebak ke Asia Barat dengan pertukaran serangan peluru berpandu, gangguan ruang udara dan pelaksanaan langkah kecemasan di beberapa negara yang menempatkan pangkalan tentera asing.

“Konflik berkenaan tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia berlaku dalam konteks lebih luas melibatkan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza, pelanggaran hak rakyat Palestin, peningkatan konfrontasi geopolitik di Asia Barat serta polarisasi antara blok kuasa besar dunia.

“Perkembangan ini berisiko memberi kesan melangkaui Iran, termasuk menjejaskan laluan tenaga global, kestabilan ekonomi serta keselamatan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan Ramadan juga mengimbau peristiwa Perang Badar yang melambangkan kekuatan iman, disiplin dan kesatuan dalam menghadapi cabaran besar.

“Semangat Badar bukan tentang peperangan, tetapi keberanian moral menentang kezaliman, perpaduan ummah merentasi perbezaan, pergantungan kepada Allah ketika kesukaran serta komitmen terhadap keadilan walaupun berdepan tekanan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI