PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad merekodkan hasil sebanyak RM7.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, penurunan 19.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia terutamanya disebabkan oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah di Stesen Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dan Stesen Janakuasa Tanjung Bin (TBP), selaras dengan penurunan harga arang batu serta pembayaran tenaga yang lebih rendah di Segari Energy Ventures (SEV) susulan pengurangan arahan penjanaan.
Untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) turun 64.2 peratus kepada RM96.1 juta berbanding 2024, selari dengan penurunan hasil.
Cabang penyelesaian alam sekitarnya, iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (Kumpulan Alam Flora) bagaimanapun mencatatkan prestasi lebih kukuh, dengan kutipan sisa domestik bertambah baik menjelang akhir tahun dan pengendalian tambahan sisa susulan permulaan operasi di Tapak Pelupusan Maokil yang baharu.
Hasilnya, Kumpulan Alam Flora merekodkan untung selepas cukai sebanyak RM132.7 juta.
Di luar prestasi kewangan, 2025 turut menyaksikan perkembangan strategik penting merentasi portfolio Malakoff.
Dalam segmen tenaga, Kumpulan memajukan portfolio tenaha boleh baharu (TBB) melalui penganugerahan dan pemuktamadan projek solar skala besar (LSS) PETRA 5+ terbesar di Malaysia berkapasiti 470 MW di Perak, bersama pembangunan solar 100 MW di Sarawak.
Terbaharu, tiga stesen janakuasa gas Malakoff, dua di Perak dan satu di Pulau Pinang dengan kapasiti gabungan 2,082 MW telah dipilih untuk lanjutan operasi sehingga 31 Disember 2029.
Malakoff turut memperkukuh platform penyelesaian alam sekitar melalui perjanjian konsesi bagi kemudahan Sisa-ke-Tenaga (WTE) Sungai Udang di Melaka.
Disasarkan mula beroperasi pada tahun 2029, projek konsesi selama 34 tahun ini mengukuhkan peranan Kumpulan dalam pengurusan sisa mampan, di samping menyumbang kepada transisi tenaga negara melalui penjanaan 22 MW TBB.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin berkata, keunikan Malakoff berbanding syarikat penjanaan kuasa lain terletak pada kekuatan perniagaan penyelesaian alam sekitarnya, yang berdiri seiring dengan segmen tenaga sebagai platform pertumbuhan teras.
“Pada Disember lalu, Alam Flora berjaya menerima penghantaran 154 unit pemadat sampah dan 37 unit mesin pemadat sampah berkuasa di bawah inisiatif Reformasi Pembersihan Awam, menyokong usaha memodenkan pengurusan sisa serta mengguna pakai teknologi yang lebih hijau selaras dengan keutamaan negara.
“Bersama projek WTE Sungai Udang, ini mencerminkan kesiapsiagaan kami untuk melaksanakan inisiatif infrastruktur mampan berskala lebih besar ketika negara memajukan agenda ekonomi kitarannya,” katanya dalam kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE














