TEMERLOH – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah setiap rumah ibadat sama ada masjid, surau, tokong, kuil atau gereja yang hendak didirikan perlu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Baginda bertitah membina apa sahaja rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan bahkan boleh mencetus salah faham dan ketegangan dalam masyarakat majmuk.
Tegas baginda undang-undang bukan untuk menyekat dan menindas tetapi untuk menyelaras serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama.
“Jika setiap pihak bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan, nescaya akan timbul kekeliruan dan perbalahan, ibarat membina rumah tanpa pelan akhirnya roboh menyembah bumi.
“Negeri ini memerlukan ketertiban bukan tindakan terburu-buru yang boleh mengundang sengketa,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Mentakab semalam.
Menurut Al-Sultan Abdullah dalam memuliakan agama hendaklah juga memuliakan undang-undang termasuk dalam perkara melibatkan rumah ibadat.
Sehubungan itu, baginda menyeru agar pihak berkuasa tempatan melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, jabatan dan majlis agama Islam serta pemimpin komunitu berganding bahu memperjelas prosedur dan memberi bimbingan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE














