KUALA LUMPUR – Kekurangan penglihatan bukan penghalang buat Nurul Aina Solehah Zainuddin, 12, apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan itu mengakui tidak menyangka namanya diumumkan sebagai antara calon terbaik di Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, hari ini.
“Tak jangka dapat keputusan cemerlang hari ini sebab subjek Akidah susah sikit, saya tidak jangka dapat semua A,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Solehah berkata, dia kerap membuat ulang kaji di rumah dan mendapat dorongan penuh daripada guru-guru yang yakin dengan kemampuannya.
Selain itu, Solehah yang memasang impian untuk bergelar seorang guru berhasrat meneruskan persekolahan dalam aliran Bahasa Arab apabila melangkah ke alam sekolah menengah nanti.
Sementara itu, bapanya, Zainuddin Mat Ali, 59, yang juga seorang guru di SMK Bukit Besar dan cacat penglihatan, menyifatkan kejayaan itu sebagai anugerah Allah hasil usaha berlipat kali ganda seluruh keluarga.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT. Kejayaan ini bukan usaha dia seorang, tetapi sokongan ibunya, ustazah, pihak sekolah dan semua yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, Solehah hanya mempunyai tempoh kira-kira dua tahun untuk menguasai silibus UPKK, sedangkan kebiasaannya murid mengikuti kelas KAFA selama lima tahun.
“Dia lewat masuk, tapi alhamdulillah boleh kejar dengan pantas dan cemerlang dalam semua mata pelajaran,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai individu cacat penglihatan, usaha yang diperlukan jauh lebih besar termasuk menggunakan rakaman audio, bantuan pembaca, menyalin semula nota dan mencetak bahan ke tulisan Braille.
“Kita kena bekerja dua atau tiga kali ganda daripada orang normal,” katanya.
Ibu Solehah, Latipah Salleh, 45, yang juga guru pendidikan khas menyifatkan anaknya sebagai seorang yang berdisiplin dan mudah mengikut arahan.
“Dia boleh mendisiplinkan diri dengan masa. Saya banyak membimbing dia di rumah untuk ulang kaji dan buat persediaan sebelum UPKK,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan ustazah KAFA yang tidak pernah meminggirkan anaknya walaupun menggunakan tulisan Braille.
“Ustazah-ustazah banyak membantu membacakan nota dan memastikan Solehah terlibat dalam setiap kem dan program,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang diraih Solehah bukan sekadar angka, tetapi simbol kekuatan disiplin, sokongan keluarga dan keyakinan bahawa kekurangan fizikal tidak pernah menjadi sempadan untuk mencipta kecemerlangan.- KOSMO! ONLINE.














