PETALING JAYA – Kebimbangan mengenai berlakunya peningkatan kes tuberkulosis (tibi) dalam kalangan masyarakat perlu diambil serius ketika orang ramai semakin rancak berkunjung ke bazar Ramadan tanpa langkah berhati-hati.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kebimbangan itu bersebab memandangkan masih terdapat 10 kluster aktif di seluruh negara yang direkodkan sehingga awal Februari lalu.
“Ramai individu mungkin mempunyai jangkitan tibi terpendam (tidak bergejala dan tidak berjangkit) tanpa mereka menyedarinya. Apabila daya tahan badan menurun, ia boleh menjadi aktif. “Kemeriahan sambutan musim perayaan meningkatkan peluang mereka yang mempunyai jangkitan aktif (mungkin tanpa sedar) untuk menyebarkannya kepada orang lain.
“Oleh kerana tibi merebak melalui udara (titisan air liur ketika batuk, bersin, atau bercakap), ruang sesak dan padat seperti bazar adalah lokasi berisiko untuk berlakunya penularan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Dr. Zainal berkata, rawatan awal jika bergejala amat penting bagi mengekang peningkatan kes tibi dalam masyarakat.
“Jika alami batuk berlarutan lebih daripada dua minggu, segera ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk melakukan pemeriksaan kahak dan x-ray dada.
“Sentiasa tutup mulut dan hidung dengan tisu atau lengan baju apabila batuk atau bersin. Selain itu, buang tisu terpakai ke dalam tong sampah dan segera basuh tangan dengan sabun serta air atau sanitizer.
“Buka tingkap dan pintu setiap hari bagi membolehkan cahaya matahari masuk dan udara segar beredar. Bakteria tibi sukar bertahan dalam persekitaran yang mempunyai pengudaraan baik dan terdedah kepada cahaya matahari,” katanya.
Beliau berkata, pastikan rawatan yang mengambil masa enam hingga 12 bulan dipatuhi sepenuhnya jika diri atau ahli keluarga disahkan menghidap tibi.
“Jangan sesekali berhenti mengambil ubat walaupun sudah berasa sihat kerana ini boleh menyebabkan bakteria menjadi kebal (resistant) dan lebih sukar dirawat .
“Jika anda tinggal serumah dengan pesakit tibi atau berada dalam ruang sesak bersama individu yang bergejala, pakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 2,571 kes tibi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-5 bagi tempoh 1 hingga 7 Feb lepas dengan kadar insiden 7.5 bagi setiap 100,000 penduduk.
Kementerian Kesihatan memaklumkan, jumlah itu meningkat 229 kes atau 9.8 peratus berbanding 2,342 kes bagi tempoh sama tahun lepas. – KOSMO! ONLINE














