PETALING JAYA – Penyanyi Aisha Retno mengakui terkilan apabila usaha kerasnya dalam industri seni sering dipandang sinis segelintir pihak sehingga memberi kesan terhadap emosi dan keyakinan diri.
Bukan syok sendiri, Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, berkata impiannya sejak kecil hanyalah untuk menjadi penghibur serba boleh selain mampu berinteraksi dengan penonton ketika membuat persembahan.
“Sejak dahulu saya bermimpi untuk menyanyi, menari, rap dan berinteraksi dengan penonton dalam satu persembahan, lebih-lebih lagi di pentas berprestij. Itu memang impian saya.
“Setiap kali selesai persembahan, pasti ada komen. Sama ada baik atau buruk, saya baca dan cuba faham. Saya ambil mana yang boleh membantu saya jadi lebih baik,” katanya dalam Instagram.
Tambah Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) itu lagi, dia juga sering berdepan detik sukar apabila sentiasa dihujani dengan ejekan rupa, body shaming, serta pelbagai ugutan sepanjang enam tahun berada dalam industri.
“Walaupun cuba kuat dan kebal, ada masa saya tetap terkesan. Kadang-kadang saya terlebih fikir, tertanya-tanya apa pula orang akan kata jika saya muncul lagi di anugerah dan membuat persembahan.
“Enam tahun dalam industri, saya pernah menerima ugutan, body shaming dan faceshaming. Itu bukan perkara mudah untuk dihadapi,” luahnya.
Berpijak pada bumi nyata, pelantun lagu Samudera itu menegaskan industri hiburan banyak mematangkan dirinya supaya tidak mudah hanyut dengan pujian atau tenggelam akibat kecaman.
“Industri muzik membentuk saya supaya tidak terlalu terkesan dengan pujian atau kritikan. Semuanya saya jadikan motivasi untuk memperbaiki diri.
“Berlatih berminggu-minggu hanya untuk beberapa minit di pentas memberikan kepuasan luar biasa buat saya dan pasukan. Saya tidak pernah menyesal walaupun kita tetap manusia yang ada kekurangan,” ujarnya.
Paling penting kata Aisha, dia hanyalah manusia biasa yang bekerja keras demi menggembirakan orang lain melalui seni.
“Pada akhirnya saya cuma manusia biasa yang suka menyanyi dan melihat orang tersenyum menikmati persembahan saya. Semua yang saya lakukan muzik, pentas, kempen, lahir daripada cinta terhadap kerja ini.
“Tolong jangan patahkan semangat seseorang dengan kata-kata buruk walaupun dia nampak kuat di atas pentas. Kata-kata boleh melukakan dan memusnahkan semangat.
“Mungkin orang anggap saya sensitif, tetapi saya bersuara demi menjaga bakat dalam industri. Kami juga bekerja keras dan hanya mengharapkan kebaikan, sokongan serta kritikan membina, bukan kata-kata yang menyakitkan,” tuturnya.
Sebelum ini, Aisha menjadi sasaran kecaman bertubi-tubi selepas membuat persembahan pembukaan di Gempak Most Wanted Awards 2025 minggu lalu dengan segelintir netizen mendakwa penampilannya berulang dan seperti syok sendiri. — KOSMO! ONLINE.














