KEMENANGAN diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi hidup mati melayan kunjungan kelab gergasi Jepun, Vissel Kobe malam kelmarin nyata memberi satu kelegaan buat Harimau Selatan.
Menang 1-0 pada aksi Juara-juara Asia Elit (ACLE) mengalahkan pasukan terkuat Kumpulan A itu umpama malam magis bukan sahaja buat pasukan, malah boleh dikatakan memberi semangat positif buat peminat bola seluruh tanah air.
Jurulatih JDT, Xisco Munoz nyata sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya meskipun bermain di bawah tekanan apabila dua gol awal dinafikan, namun disiplin dan aksi matang para pemain sudah cukup membuktikan JDT dalam kelas tersendiri.
“Kami bermain dengan keseimbangan yang baik. Pemain faham peranan masing-masing dan menunjukkan karakter sebenar ketika berdepan tekanan. Setiap pemain mempamerkan aksi yang mengagumkan sehingga dapat membolosi benteng pertahanan Vissel Kobe.
“Banyak peluang dapat dicipta hasil taktikal yang disusun sehingga pasukan kami menjaringkan dua gol, namun kami akur bola itu dibatalkan kerana ofsaid.
“Meskipun berada dalam tekanan untuk menang, pemain tampil tenang menyusun serangan demi serangan sehinggalah gol magis muncul,” katanya selepas tamat aksi perlawanan itu malam kelmarin.
Munoz mengakui pasukan lawan bukanlah satu pasukan yang mudah untuk dijinakkan lebih-lebih lagi barisan pemain yang diturunkan Vissel Kobe adalah jentera pasukan terkuat.
Sementara itu, hero pasukan Harimau Selatan, Marcos Guilherme menzahirkan rasa bangga apabila dapat menjaringkan gol tunggal perlawanan selain mengakui kunci utama kemenangan adalah disiplin dan fokus rakan sepasukan.
“Kami tidak patah semangat selepas dua kali gol JDT dibatalkan, kami terima keputusan itu dengan hati terbuka, selepas itu kami atur balik serangan dan ya kemenangan yang dicari memihak kepada kami, ia satu magis,” katanya.














