PETALING JAYA – Seorang wanita yang tular ditolak sehingga tersadung di atas tanah tampil memberi penjelasan berhubung video melibatkan dirinya dan teman lelaki sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sejak semalam.
Menerusi satu perkongsian ringkas di platform media sosial, wanita berkenaan mengakui kejadian yang berlaku melibatkan tindakan teman lelakinya adalah keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku terhadap seorang perempuan.
“Saya akui apa yang dia buat pada saya memang terlalu kasar dan dia sendiri mengaku perkara itu salah. Lelaki tak patut berkasar dengan perempuan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut wanita itu, isu berkenaan telah diselesaikan secara baik antara mereka tanpa melibatkan pihak luar.
“Kami dah selesaikan cara baik dan sekarang kami berdua okey sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, wanita tersebut turut mengakui dirinya juga mempunyai kesilapan sehingga mencetuskan pergaduhan berkenaan selain tidak mahu menyalahkan sebelah pihak sahaja.
“Saya tak nak sebelah lelaki sahaja nampak jahat dan kejam. Dalam hal ini saya juga punca pergaduhan. Saya yang pancing emosi dia dan buat perkara yang tak patut di belakang dia,” jelasnya.
Tambahnya, dia tampil bersuara bukan untuk membuka aib mana-mana pihak, sebaliknya bagi membersihkan nama kedua-dua belah keluarga yang terkesan dengan penularan video tersebut.
“Saya tak nak memalukan pihak teman lelaki saya. Dia ada keluarga, ada ibu bapa yang perlu dia jaga air muka. Saya pun sama, ada keluarga yang perlu dijaga. Apa yang jadi, biarlah kami berdua sahaja yang tahu.
“Apa yang saya buat ini untuk bersihkan nama kami berdua dan keluarga kami,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan insiden pertengkaran pasangan tersebut tular di media sosial sehingga mengundang kecaman serta pelbagai spekulasi daripada orang ramai.
Ramai menyifatkan tindakan lelaki itu kasar kerana menolak wanita terbabit sehingga jatuh. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














