KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan penulis bidang analisis geopolitik, sejarah, ekonomi serta isu global, Ahmad Faezal diumumkan sebagai calon pertama yang dipilih untuk menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama misi Sumud Nusantara.
Sumud Nusantara dalam satu kenyataan di laman media sosial memaklumkan, pemilihan peserta untuk menyertai pelayaran bot tersebut disifatkan amat mencabar berikutan peluang yang terhad serta proses saringan yang ketat.
Tambahnya, setiap misi memerlukan sekurang-kurangnya seorang peserta yang boleh berperanan sebagai Key Opinion Leader (KOL) bagi menyampaikan naratif dan perkembangan misi kepada masyarakat umum.
Menurutnya, sesi temu duga bersama Ahmad Faezal dilakukan ketika beliau masih berada di Dimashq, Syria semasa menjalankan misi kemanusiaan.
“Beliau berada di Dimashq, di hadapan makam Salahuddin Al-Ayyubi dan kelihatan Menara Putih sebagai latar belakang ketika kami sedang bercerita.
“Semoga ia petanda baik untuk semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














