fbpx
Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang memeriksa penunggang motosikal ketika ops khas Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

JPJ P. Pinang tumpu 12 ‘hot spot’ kerap kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seramai 168 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditugaskan sepanjang Ops Khas Tahun Baharu Cina yang menumpukan pemantauan di 12 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan bermula Isnin lalu hingga 22 Februari ini.

“Hot spot ‘ tu membabitkan empat zon meliputi lima daerah iaitu Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, tumpuan diberikan kepada beberapa laluan tertentu bagi memastikan berlaku pengurangan kemalangan di lokasi terbabit.

“Keberhasilan inisiatif penguatkuasaan itu diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya khususnya di koridor penguatkuasaan termasuk kawasan ‘black spot’ yang dikenal pasti melibatkan laluan utama negeri serta lebuh raya di Pulau Pinang.

“Selain itu, pendekatan Perception of Being Caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi memastikan kehadiran anggota JPJ sentiasa dirasai pengguna jalan raya sekali gus mendorong pematuhan terhadap peraturan keselamatan.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi undang-undang lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu secara berhemah dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas memantau Ops Khas Tahun Baharu Cina di susur masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Operasi itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI