PETALING JAYA – Orang ramai menggesa pihak berkuasa segera menahan individu tidak bertanggungjawab susulan penemuan mayat bayi perempuan yang ditemui di tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut beliau, bayi perempuan berkenaan ditemui dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat.
“Ada mayat bayi perempuan dijumpai kat tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit. Cukup sifat dan masih bertali pusat.
“Memang **** lah siapa punya pekerjaan ni. Bikin angin pagi-pagi Jumaat. Maklumat lanjut korang baca kat portal online je lah,” tulisnya.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa marah dan sedih selain mendesak agar pelaku segera diberkas.
“Cari pelakunya YB,” kata Tarmimi Abil Khasim.
“Allahuakhbar…Mohon semak setiap CCTV (televisyen litar tertutup) yang ada termasuk bangunan berhampiran. Insya-Allah boleh dapar pelaku,” komen Akmal Arif.
Seorang lagi pengguna, Sue Ommi turut mencadangkan supaya CCTV dipasang di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Dah kena pasang CCTV dekat situ nampaknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














