SEREMBAN – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengalu-alukan netizen untuk mengambil bukti melalui rakaman video atau gambar membabitkan individu melakukan kesalahan membuang sampah di negara ini termasuk dari dalam kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, terdapat dua kes tular membabitkan individu membuang sampah dari kenderaan dan pihaknya berterima kasih kepada netizen yang telah menularkan kejadian berkenaan.
“Kami telah pun mengesan kedua-dua kenderaan tersebut dan tindakan sedang diambil oleh pihak polis kerana ada terdapat beberapa isu lain sebenarnya. Kami mempunyai medium-medium aduan ini dan sila pastikan bukti untuk mendakwa individu-individu ini ada.
“Kita tidak ada lagi dari segi pengecaman wajah, jadi kalau ada bukti lain seperti nombor pendaftaran kenderaan, itu adalah yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, semalam.
Ujar Khalid lagi, secara keseluruhannya, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 711 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri yang melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007(Akta 672) melibatkan 553 warganegara tempatan dan 158 warganegara asing.- KOSMO! ONLINE














