KUALA LUMPUR – Jumlah menu program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan ditingkatkan daripada 20 kepada 33 bermula penghujung tahun ini.
Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu antaranya bertujuan memberi kepelbagaian kepada menu makanan di bawah RMT.
Menurut beliau, penambahan menu dibuat melalui perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira aspek keperluan kalori dan diet seimbang.
“Inisiatif ini juga bertujuan menarik minat dan cita rasa murid melalui tawaran pilihan menu yang lebih luas dan pelbagai,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai usaha kerajaan untuk menambah baik Program RMT.
Fadhlina menjelaskan, KPM juga melaksanakan semakan dengan menaikkan kadar RMT bermula November 2022 dengan nilai RM2.50 kepada RM3.50 bagi sekolah di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, bagi sekolah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan dari RM3 kepada RM4 bagi mengimbangi kenaikan harga bahan mentah.
Jelas beliau, langkah itu juga bertujuan meringankan beban kewangan pembekal dalam menyediakan makanan RMT yang berkualiti dan mencukupi mengikut menu ditetapkan oleh KPM.
Selain itu, katanya, bagi memastikan RMT dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan, guru bertugas akan melaksanakan pemantauan RMT secara dalam talian setiap hari dan akan disemak pentadbir sekolah setiap minggu.
Ujar beliau, melalui mekanisme itu, pembekal RMT sentiasa diberikan peringatan supaya kualiti dan kuantiti makanan yang dibekalkan adalah menepati standard yang ditetapkan.
Tambah beliau, pemantauan juga dilaksanakan oleh pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan KPM secara berkala.
Katanya, KKM turut bekerjasama melaksanakan pemantauan bagi memastikan kebersihan dan kaedah penyediaan makanan menepati standard dan menu yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














