PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai tidak menunggu lama untuk menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara one off berjumlah RM100 semalam apabila menyerbu pasar raya dan kedai runcit terpilih.
Tinjauan Kosmo! mendapati, suasana di beberapa premis lebih sibuk berbanding hari-hari sebelumnya dengan rata-rata penerima hadir seawal pagi bagi membelanjakan bantuan yang mula dikreditkan semalam.
Biarpun berhadapan pelanggan lebih ramai pada hari pertama penebusan bantuan RM100, proses pembelian di kaunter pembayaran dilihat berjalan lancar seperti biasa berlaku pada tahun lalu.
Di Kuala Terengganu, tinjauan mendapati ramai pengguna menebus Sara bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menghadapi awal Ramadan pada minggu depan.
Seorang pengguna, Yusri Abdul Wahab, 43, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menggunakan bantuan RM100 dikreditkan kerajaan sebaik dimaklumkan boleh berbuat demikian mulai semalam oleh juruwang pasar raya terbabit.
“Kebetulan baki Sara bulanan yang diperoleh pada bulan Januari dan Februari lalu masih tersisa. Jadi, saya berbelanja lebih sedikit sebagai persiapan menyambut Ramadan yang kebetulan serentak dengan anak-anak bercuti sekolah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sebuah pasar raya besar di sini semalam.
Bagi Asiah Ali, 53, pula, dia bersyukur dan menganggap Sara RM100 sebagai rezeki tambahan buat keluarganya dalam berbelanja barangan keperluan.
“Tambahan RM100 bagi setiap isi keluarga berusia 18 tahun ke atas ini rahmat besar buat kami yang merupakan keluarga B40 (berpendapatan rendah),” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nizam Alif, 21, pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di sini berkata, dia dan rakan sekampus menebus Sara untuk membeli barangan dapur sebagai persiapan menyambut bulan puasa tidak lama lagi.
“Kami ini duduk di rumah sewa, memang kena berjimat untuk kurangkan kos sara hidup sebagai pelajar. Alhamdulillah sekarang Sara sudah boleh digunakan untuk membeli produk sejuk dan sedia dimakan, boleh kami simpan di peti sejuk sebagai persediaan bulan puasa nanti,” ujarnya.
Di Melaka, selain membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula, orang ramai dilihat memanfaatkan bantuan Sara untuk membeli makanan sejuk beku termasuk nuget.
Bagi penyelia di Mydin MITC Melaka, Nor Hedayu Md. Yusof, 34, berkata, trend pembelian itu ketara sejak bantuan berkenaan disalurkan semalam apabila rata-rata penerima mengambil makanan sejuk beku.
“Selain barangan dapur seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan sabun pencuci pakaian, makanan sejuk beku seperti nuget mendapat permintaan tinggi.
“Setakat tengah hari ini (semalam), jumlah pembelian menggunakan Sara termasuk perbelanjaan penerima bantuan bulanan mencecah kira-kira RM24,000,” katanya.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Nurin Hanisya Abdul Halim, 23, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang memanfaatkan bantuan Sara dengan pembelian produk makanan sejuk beku.
“Hari ini (semalam) saya terus gunakan Sara untuk beli nuget dengan jumlah pembelian sekitar RM36. Sebagai pelajar, makanan produk sejuk beku seperti nuget ini mudah disediakan dan boleh tahan lebih lama untuk dimakan,” ujarnya.

Di Ipoh, seorang penuntut, Marsha Maisarah Md. Nor, 24, berkata, bantuan RM100 secara one off tepat pada masanya kerana golongan mahasiswa sepertinya turut berhadapan dengan kos sara hidup.
“Syukur bantuan ini diteruskan, ada antara mahasiswa yang akan menjalani latihan industri tidak lama lagi, jadi Sara ini sedikit-sebanyak membantu golongan sedemikian meneruskan kehidupan terutamanya di kawasan bandar.
“Bukan itu sahaja, umat Islam juga bakal menyambut ketibaan Ramadan minggu hadapan, jadi sudah tentu barangan keperluan harian seperti beras dan gula dapat dibeli mereka menggunakan Sara, sekali gus memberi kelegaan kepada golongan B40,” katanya.
















