fbpx
Edde Firdaus melihat kawasan tanahnya yang sedikit demi sedikit menjadi lautan akibat hakisan di Pantai Tanjung Batu, Pekan.

Tanah dihakis laut jadi milik kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Tanah yang ditenggelami laut di kawasan Tanjung Batu, di sini secara automatik menjadi hak milik kerajaan negeri dan pemilik tidak perlu membayar cukai.

Pegawai Daerah Pekan, Azora Shamsudin berkata, pejabat daerah dan tanah akan memberikan lakaran geran baharu melibatkan tanah yang masih berada di daratan.

Katanya, pemilik hanya perlu membayar cukai tanah yang masih ada di daratan.

Ujarnya, buat masa ini seba­nyak 10 lot tanah hak milik persendirian dikenal pasti terjejas di kawasan Tanjung Batu melibatkan kawasan yang telah ditenggelami laut kira-kira 3.8 hektar.

“Istilah geran laut tidak betul kerana apabila tanah lot ditenggelami laut ia menjadi ta­nah kerajaan negeri berdasarkan Seksyen 49 Kanun Tanah Negara.

“Jadi pada awal Januari tahun ini, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan telah menghantar notis kepada pemilik-pemilik untuk menyerahkan geran lama untuk diganti dengan yang baharu iaitu hak milik sambungan yang mana ada pelan baharu baki lot,” kata­nya di sini semalam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kesedihan seorang pemilik chalet apabila tanah dan chaletnya di Pantai Tanjung Batu, Nenasi di sini bertukar menjadi lautan akibat hakisan yang teruk.

Edde Firdaus Abdul Aziz, 46, yang merupakan pemilik ­Chalet Kekunang Tering dilaporkan berkata, dia membeli sebidang tanah seluas kira-kira 1.4 hektar berharga RM350,000 sebelum membangunkan chalet pada tahun 2016.

Dalam pada itu, Azora berkata, berdasarkan maklumat, tanah pemilik Chalet Kekunang Tering yang telah dihakis itu adalah hampir satu hektar dengan baki yang tinggal kira-kira 0.62 hektar.

Edde Firdaus berkata, setakat ini dia belum menerima apa-apa notis dan belum mengadakan perbincangan dengan pihak pejabat daerah dan tanah mengenai isu geran tanah miliknya itu.

Katanya, dia masih membayar cukai tanah berdasarkan keluasan lot asal di dalam geran yang ada dalam simpanannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN