fbpx
Izwan Hasli (kiri) dan Gobind (dua kanan), pada Majlis Pelancaran Rasmi Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia.

Menara Merdeka 118 diiktiraf MD Nexus pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menara Merdeka 118 terus mengukuhkan kedudukannya di pentas nasional secara rasmi selepas diiktiraf sebagai MD Nexus pertama di Malaysia, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekosistem ekonomi dan inovasi digital negara.

Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi Inisiatif Pengiktirafan Lokasi MD di bawah Kementerian Digital yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bagi mengiktiraf lokasi strategik yang dibangunkan khusus untuk menyokong perniagaan, perkhidmatan dan inovasi digital.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, inisiatif MD Nexus diperkenalkan sebagai langkah untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara selain bersedia menempatkan ekosistem perniagaan dan inovasi digital.

“Pelancaran Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama mencerminkan komitmen dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk menarik pelaburan, memperkasa perusahaan digital serta mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau.

“Agenda digital negara merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, dengan meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menarik pelaburan berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama Malaysia, di sini, hari ini.

Tambah Gobind, enam sektor berimpak tinggi dikenal pasti sebagai fokus utama transformasi digital negara tahun ini, merangkumi penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana, penguatkuasaan serta perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim berkata, pengiktirafan berkenaan mengukuhkan peranan Menara Merdeka 118 sebagai pembangunan yang melangkaui status mercu tanda semata-mata.

“Usaha berterusan ini untuk menyediakan persekitaran bersepadu dan berkualiti tinggi yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta digital negara, di samping mengekalkan keharmonian dengan elemen warisan nasional seperti Stadium Merdeka.

“Kami menyasarkan Menara Merdeka 118 muncul sebagai destinasi global menjelang 2026 bagi perniagaan dan inovasi, serta menjadi pilihan syarikat multinasional untuk membina dan mengembangkan operasi mereka,” ujarnya. –KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI