Jambatan Sungai Durian di Kuala Krai yang mula dibina pada 2021 masih belum siap sehingga kini.

Pelik Jambatan Sungai Durian, Kuala Krai tak siap-siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTAMA sekali, penulis ingin mengucapkan syabas kepada pihak berkuasa dan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya membongkar pelbagai salah laku tatakelola di semua peringkat.

Dari sekecil-kecil jawatan hinggalah peringkat tertinggi, umpama orang kata dari ‘ikan bilis sehinggalah seekor jerung’ yang sebelum ini ‘kenyang’ dijamu.

Bermula dengan skandal di Kementerian Dalam Negeri melibatkan beberapa agensi penguat kuasa termasuklah sindiket counter setting, kemudiannya kartel di Kementerian Pertahanan dan kini merebak ke Jabatan Alam Sekitar.

Pembongkaran demi pembongkaran inilah yang rakyat mahu, bukan sekadar memburu pesalah, tetapi rakyat mahu pengkhianat yang selesa dengan duit haram ini mendapat balasan setimpal.

Ini kerana, wang yang mereka ‘songlap’ itu adalah duit rakyat, duit daripada pelbagai hasil cukai yang dibayar setiap bulan.

Meskipun penulis bukan penyokong tegar mana-mana pihak, tetapi sebagai rakyat Malaysia, inilah yang kami mahu supaya setiap keringat rakyat tidak berterusan dirompak oleh pihak yang tamak mengisi tembolok sendiri.

Penulis yakin, banyak lagi agensi dan kementerian lain yang patut disiasat, umpamanya seperti Kementerian Kerja Raya.

Bukan niat mahu menuding.jari, tetapi sebagai salah seorang pengguna jalan raya penulis mahu pihak berkuasa ‘intai’ juga agensi ini.

Sebabnya, sebagai anak jati Kelantan, penulis hairan kenapa sehingga hari ini jambatan Sungai Durian di Kuala Krai tidak siap-siap.

Sedangkan projek tersebut telah bermula sektar tahun 2021 dan jambatan ini bukanlah panjang seperti Jambatan Pulau Pinang kerana tidak sampai 100 meter.

Dimanakah silapnya, adakah salah laku tatakelola menyebabkan jambatan ‘ikonik’ kesesakan jalan raya di Kelantan setiap kali musim perayaan ini belum siap sehingga hari ini?

Itu baharu isu jambatan, belum lagi sentuh kualiti jalan raya yang umpama senipis ‘kulit bawang’ apabila tidak sampai setahun sudah berlubang.

Justeru, penulis bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi sama ada di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dikenakan tindakan tegas sekiranya terlibat dalam salah laku tatakelola.

Ini kerana kata beliau, beberapa kelemahan dan salah laku tatakelola wujud pada setiap peringkat bermula di agensi persekutuan, negeri sehingga PBT.

“Kerosakan selalunya bermula berpunca daripada atas, sebab itu saya tekankan penguatkuasaan di peringkat atasan seperti ketua setiausaha, ketua pengarah, pengarah-pengarah termasuk jemaah menteri.Mereka ini perlu dipantau dengan cukup teliti.

“Jadi mesti ada gerakan dan rancangan yang menyeluruh melibatkan seluruh kekuatan jentera (persekutuan, negeri, PBT) baru boleh negara ini diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan itu bagi memastikan kelemahan pelaksanaan dapat diperbaiki demi kepentingan rakyat dan negara.

Jadi berhati-hatilah kepada golongan yang sedang menikmati ‘habuan’ hasil haram itu, lambat laun mungkin giliran anda pula pakai ‘baju oren’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN