RIYADH – Kemelut drama yang dicetuskan oleh bekas penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema bersama Al Ittihad akhirnya menemui noktah selepas melengkapkan perpindahan percuma ke satu lagi kelab gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal, semalam.
Sebagai rekod, Masa depan Karim Benzema bersama Al Ittihad menjadi tanda tanya minggu lalu selepas pemenang Ballon d’Or 2022 itu ‘mogok’ apabila menerima tawaran lanjutan kontrak yang dianggap tidak masuk akal.
Namun, pengurusan Al Hilal bersetuju untuk memberi tawaran yang lebih lumayan berbanding Al Ittihad sekali gus berjaya menarik minat penggempur berusia 39 tahun itu untuk berhijrah serta-merta.
Benzema berkata, pengalaman hampir tiga tahun menyarung jersi Al-Ittihad akan tetap dikenang selepas berjaya membantu pasukan menjuarai gelaran liga musim lalu.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan penyokong setia yang memberikan saya tenaga untuk pamer prestasi terbaik setiap hari.
“Mewakili Al Ittihad adalah pengalaman yang cukup indah buat saya secara peribadi atau sebagai pemain profesional dan saya bangga dengan apa yang kita capai dalam tempoh tiga tahun bersama,” katanya.














