SENGKETA melibatkan Puteri Balqis (Aqish), Mia Sara dan Janna Nick yang memanaskan gelanggang dunia hiburan minggu lalu kini reda, namun sengketa itu jauh lebih daripada sekadar isu hangat dalam media sosial.
Aqish sudah memadamkan segala pendedahan yang dibuat namun percayalah, terbenamnya sementara.
Seperti mesej ibu Aqish, Ashikin, mengingatkan bahawa isu sebenar tidak akan selesai hanya apabila anaknya memilih untuk berdiam diri.
Pesanan itu molek diperhatikan. Dalam landskap hari ini, masyarakat mudah menyamakan diam dengan penyelesaian, seolah-olah memadam jejak digital mampu memadam luka, trauma dan persoalan.
Hakikatnya, apa yang berlaku tidak boleh diundur dan apa yang terdedah tidak hilang hanya kerana dipadamkan.
Ashikin menegaskan bahawa pendedahan bukan tujuan tetapi isyarat. Apabila isyarat itu disenyapkan tanpa penelitian, tindakan susulan atau usaha memahami punca sebenar, kita sebenarnya hanya menangguhkan masalah.
Lebih membimbangkan, sikap ini membuka ruang kepada pengulangan kesilapan sama dengan watak dan mangsa berbeza. Itu biasa.
Sebagai masyarakat, kita sering terperangkap antara keinginan untuk meredakan keadaan dan ketakutan berdepan kebenaran.
Tekanan agar individu berhenti bersuara mungkin menenangkan suasana buat sementara, tetapi tidak menjawab persoalan asas tentang sistem sokongan, tanggungjawab dan langkah pencegahan. Dalam banyak keadaan, keheningan hanya menguntungkan masa, penyelesaian.
Di sebalik kekecohan itu, terdapat sisi lain yang wajar diberi perhatian. Kebersamaan Aqish dengan keluarga kecilnya memperlihatkan betapa pentingnya sokongan terdekat ketika seseorang diuji sorotan awam.
Mereka bukan sahaja berdiri bersama ketika isu menjadi viral, malah saling menjadi rusuk yang menguatkan perjalanan Aqish sebagai selebriti dan pempengaruh media sosial.
Aspek ini mengingatkan kita bahawa kekuatan individu jarang lahir secara sendirian. Di sebalik keberanian untuk terus melangkah, ada sistem sokongan yang tidak kelihatan tetapi setia memberi dorongan, keyakinan dan ruang untuk bangkit semula.
Ironinya, di sebalik segala kekecohan, apa yang berlaku sedikit sebanyak turut memberi kesan positif kepada Aqish dan keluarganya, menjadikan mereka semakin berpengaruh, sementara nilai The Poet Family dilihat kian mahal di mata pemilik jenama.
Pelantikan mereka sebagai duta kempen beberapa jenama popular seolah-olah mengesahkan hakikat bahawa dalam ekosistem media sosial hari ini, krisis tidak semestinya merugikan. Dalam diam, rezeki hadir dengan wajah berbeza, lebih murah dan lebih terbuka walaupun berpunca daripada episod yang tidak pernah diminta.
Di situlah iktibar paling jujur untuk direnungkan bersama. Dalam dunia yang digerakkan perhatian dan algoritma, garis antara kealpaan, simpati dan keuntungan semakin kabur.
Namun iktibar sebenar bukan terletak pada siapa yang untung atau rugi, sebaliknya pada keberanian masyarakat untuk belajar, membaiki dan memastikan kesilapan yang sama tidak berulang.














