BAYAR harga ikan sahaja, selebihnya termasuk nasi putih, ulam-ulaman, budu, sambal belacan dan minuman sirap disediakan secara percuma.
Itu tawaran istimewa khusus untuk pengunjung yang menjamu selera di Medan Ikan Bakar Ibunda Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan sejak setahun lalu.
Menariknya, pelanggan bebas memilih jenis ikan segar yang mahu dibakar, ditimbang dan dimasak mengikut cita rasa masing-masing, dengan harganya dimaklumkan terlebih dahulu sebelum juadah disediakan.
Pengusahanya, Muhammad Razif Mirza Mansor, 22, berkata, pelanggan hanya perlu membayar harga ikan, manakala hidangan sampingan disediakan secara percuma.
Menurutnya, restoran berkenaan sering dikunjungi artis, pemain bola sepak dan keluarga pengunjung Pantai Semerak untuk menikmati masakan ikan sama ada panggang atau goreng.
“Nasi, air sirap dan ulaman kami sedekahkan. Namun, label supaya tidak membazir ditampal sebagai peringatan kepada pelanggan.
“Saya belajar daripada ibu bahawa pelanggan bukan datang hanya kerana nak kenyang, tapi kerana mahu merasai masakan dan layanan yang ikhlas.
“Jadi, kami jaga dua perkara itu,” kata pewaris Medan Ikan Bakar Ibunda Tok Bali itu yang juga anak kepada Zailani Ariffin, 60, iaitu wanita yang mengasaskannya.

Razif yang memiliki Diploma Masakan dan Kulinari dari sebuah kolej masakan di Pulau Pinang berkata, dia mengambil alih pengurusan restoran daripada ibunya yang terkenal dengan disiplin tinggi dalam menjaga mutu masakan dan layanan pelanggan.
Restoran yang terletak di lokasi strategik laluan utama Tok Bali-Bachok itu menjadi tumpuan pengunjung terutama pada waktu malam, hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Antara menu utama yang menjadi tarikan ialah ikan merah, siakap, jemuduk, kerapu, aji-aji dan cermin yang dibakar segar terus daripada hasil tangkapan nelayan Tok Bali dan Kuala Besut.
Dua pilihan disediakan iaitu ikan bakar yang ditawar bersama kicap berlada atau ikan bakar berempah bersama nasi putih panas.
Razif berkata, pelanggan juga boleh menikmati udang dan sotong celup tepung serta sos warisan keluarga yang memberi kelainan rasa.
Menurutnya, restoran itu turut memperkenalkan menu baharu iaitu ikan siakap yang dijeruk terlebih dahulu dan digoreng garing (bekok) sebelum dihidang dengan nasi putih dan sambal pedas.
“Ramai pelanggan tertarik nak cuba ikan siakap bekok ini sebab jarang dijual di restoran. Bila makan panas-panas, dengan budu dan ulam, memang tak cukup seekor,” katanya.
Kongsi Razif, turut menjadi pilihan pelanggan ialah siakap tiga rasa, maggi ketam dan ketam bakar yang kini menjadi antara hidangan popular dalam kalangan pengunjung luar Kelantan.
Katanya, restoran itu beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam dengan tenaga kerja seramai 10 pekerja tempatan.
“Kita guna tukang masak yang ramai agar hidangan dapat disediakan kepada pengunjung dalam tempoh tidak sampai 15 minit,” katanya.
















