KUALA LUMPUR – Tindakan seorang individu yang membawa seorang pengawal keselamatan makan bersama di restoran Rembayung meraih perhatian ramai selepas kisah itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads @Ultramett, dia memaklumkan telah membawa seorang pengawal keselamatan makan di restoran berkenaan selepas mendapati pengawal tersebut masih belum makan tengahari.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang duduk di kerusi pengawal keselamatan tersebut sebelum bertanyakan sama ada lelaki itu sudah makan atau belum.
“Saya tanya pengawal itu dah makan ke? Jom ikut saya makan, beritahu bos awak, cakap saya nak belanja,” ujarnya.
Bagaimanapun, pengawal keselamatan berkenaan memaklumkan perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada majikannya sebelum menerima pelawaan tersebut.
“Kami masuk dulu sebab dia cakap tunggu tanya bos. Lepas 10 minit nampak macam dia cari-cari dekat luar, terus saya jemput dia masuk ke dalam,” katanya.
Dalam perkongsian sama, dia turut menjelaskan pengawal keselamatan itu tidak makan daging dan hanya memilih hidangan berasaskan ayam.
“Dia tak makan daging, makan ayam saja. Jadi kami makan ayam goreng satu, ayam kicap satu dan telur dadar,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap hantaran tersebut.
“Aku nak menyamar jadi ‘cleaner’ lah depan tu nanti,” seloroh @Bujakuali.
“Rasa teharu dan sedih. Terima kasih orang baik,” ujar @Khadeejaalzahra. – KOSMO! ONLINE














