KULAI – Kerajaan menjangkakan pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi dan didedahkan kepada perkara tidak patut dalam talian dikuatkuasakan seawal Julai ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.
Langkah itu, katanya, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
“Di bawah OnSA, kami telah mulakan perbincangan dengan penyedia platform. Jadi sekarang ini kita dalam stage ‘regulatory sandbox’ untuk kita cari cara yang paling baik, berkesan dan selamat untuk melakukan pengesahan umur ini. Buat masa ini kita dalam peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform.
“Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka ia akan dilaksanakan suku ketiga atau keempat tahun ini,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini hari ini.
Kerajaan dilapor menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.-KOSMO! ONLINE














