BAGI memperkasa kerjasama strategik dalam bidang tadbir urus, integriti, pendidikan, latihan dan penyelidikan berkaitan jenayah ekonomi, Universiti HELP dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini.
Canselor dan Pengasas Bersama Universiti HELP, Prof. Datuk Dr. Paul Chan Tuck Hoong berkata, kerjasama tersebut menyediakan rangka kerja antara kedua-dua institusi dalam pendidikan pascasiswazah, program latihan eksekutif dan profesional, penyelidikan gunaan, penerbitan serta inisiatif berkaitan dasar.
Ia menggabungkan pengalaman SPRM dalam penguatkuasaan antirasuah dan pembangunan integriti dengan kepakaran akademik serta keupayaan pendidikan profesional Universiti HELP.
Majlis menandatangani MoU telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan turut menandakan pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 yang merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 universiti itu.
Majlis dihadiri Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki bersama pegawai kanan SPRM, ahli pengurusan universiti, para akademik dan pengamal industri.
Jelas Paul Chan, MoU tersebut dibina berdasarkan hubungan sedia ada yang telah terjalin antara universiti dan SPRM serta mencerminkan objektif bersama dalam memajukan pendidikan tadbir urus dan integriti.
“Kerjasama ini menyediakan platform berstruktur untuk kedua-dua institusi menyumbang kepada pembangunan profesional yang memahami tadbir urus, akauntabiliti dan tanggungjawab etika.
“Ia menyokong fokus Universiti HELP terhadap pendidikan yang relevan dengan keperluan nasional dan amalan profesional,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama itu amat bertepatan pada masanya ketika universiti menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya pada 1 April nanti, sekali gus mengukuhkan penekanan jangka panjang universiti tersebut terhadap pendidikan berasaskan nilai dan sumbangan kepada masyarakat.
“MoU ini juga menyokong pembangunan dan pelaksanaan berterusan program Sarjana Sains Dalam Pengurusan Jenayah Ekonomi (Master of Science in Economic Crime Management) yang mengintegrasikan pengajian akademik dengan perspektif gunaan daripada penguat kuasa undang-undang, badan pengawalseliaan dan pengamal industri.
“Program ini merangkumi bidang seperti penyiasatan penipuan, tadbir urus korporat, perakaunan forensik, jenayah digital dan kewangan serta etika dalam pengurusan jenayah ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Azam menyifatkan MoU itu jelas mencerminkan kerjasama berterusan antara agensi penguatkuasaan dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti.
“Kerjasama antara SPRM dan Universiti HELP ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkukuh integriti, tadbir urus dan pendidikan anti rasuah, di samping membangunkan pemimpin yang berkemahiran dan berprinsip bagi menyokong agenda nasional anti rasuah Malaysia.
“Jenayah ekonomi terus berkembang dari segi skop dan tahap kecanggihan, sekali gus memerlukan profesional yang bukan sahaja memiliki pengetahuan teknikal tetapi juga pemahaman yang kukuh mengenai tadbir urus, akauntabiliti dan tanggungjawab etika,” katanya.
Kongsinya, sejak termeterainya perjanjian persefahaman pertama antara kedua pihak 16 tahun yang lepas, seramai 29 pegawai SPRM telah mengikuti Program Sarjana Pengurusan Jenayah Ekonomi dengan biasiswa penuh Universiti HELP, sekali gus menyumbang kepada pembangunan akademik institusi tersebut.
Turut berlangsung pada majlis yang sama, Pemangku Pesuruhjaya Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohd. Hafaz telah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti HELP.
Pelantikan itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara pengamal dan ahli akademik serta menyokong pemindahan pengetahuan dalam aktiviti pengajaran, latihan dan pembangunan profesional.
Selepas majlis menandatangani MoU, Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 dimulakan dengan satu sesi perbincangan panel dipengerusikan oleh Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, University HELP, Prof Datuk Seri Dr. Akhbar Satar.
Ahli panel jemputan terdiri daripada bidang akademik, profesion perundangan dan tadbir urus korporat bagi membincangkan isu serta cabaran semasa berkaitan tadbir urus, integriti dan jenayah ekonomi.
















