PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Nora Lunia mengingatkan golongan itu supaya sentiasa menjaga etika ketika membuat ulasan di restoran makanan terutama sekiranya hadir tanpa jemputan pemilik.
Menurut Nora, sebagai individu yang dikenali, beliau memilih untuk datang ke premis makanan seperti pelanggan biasa sekiranya mahu berkongsi pengalaman peribadi tanpa sebarang persetujuan komersial.
“Kalau saya jumpa kedai yang tidak popular atau tular, tetapi makanannya sedap, saya datang sebagai pelanggan biasa. Sebagai influencer, kita tidak perlu mengganggu operasi kedai. Buat ulasan secara jujur,” katanya kepada Kosmo!.
Nora berkata, status sebagai pemengaruh tidak meletakkan seseorang itu istimewa berbanding pelanggan lain.
“Walaupun individu itu influencer, dia tetap manusia biasa. Kalau datang makan, kena bayar macam orang lain,” katanya.
Mengulas isu permintaan makan secara percuma atau meminta bayaran, Nora berkata, pempengaruh tidak berhak menuntut sebarang keistimewaan sekiranya tiada persetujuan dengan pemilik kedai.
“Jika tidak ada persetujuan dengan pemilik, individu itu tidak layak makan secara percuma. Melainkan pemiliknya mahu belanja,” ujarnya.
Menurutnya, pempengaruh yang datang tanpa jemputan wajib membuat bayaran seperti pelanggan lain.
“Tak kisah anda influencer atau siapa, kalau kedai itu tidak menjemput anda, wajib bayar,” katanya.
Nora turut mencadangkan pempengaruh yang mahu membuat ulasan berbayar berhubung terlebih dahulu dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan.
“Kalau nak ulasan berbayar, kena hubungi dahulu pemilik kedai. Kalau tidak setuju, buat sahaja ulasan jujur,” ujarnya.
Nora mengingatkan bahawa pempengaruh merupakan figura awam yang membawa imej kepada komuniti pempengaruh secara keseluruhannya.
“Kalau seorang pempengaruh itu tidak menjaga etika atau profesionalisme, dia boleh merosakkan nama influencer lain,” katanya.
Sehubungan itu, Nora mencadangkan pemilik premis supaya menetapkan polisi jelas berkaitan ulasan dan bayaran bagi mengelak salah faham.
“Pemilik kedai boleh letak polisi, misalnya ‘tiada bayaran review dikenakan’. Zaman sekarang zaman tular, jadi undang-undang dan garis panduan perlu lebih ketat,” katanya.
Tambah Nora, ketelusan antara pempengaruh dan pemilik perniagaan penting bagi memastikan ekosistem pemasaran digital yang sihat dan beretika.















