fbpx
Kehadiran Sheikh Muhammad menjadi pelengkap kepada kehidupan berumah tangga Noorul Izzah bersama Mohd. Khairuddin.

’19 tahun menanti, bukan perjalanan yang mudah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penantian hampir dua dekad yang sarat ujian dan pengorbanan akhirnya menghadirkan sinar bahagia buat sepasang suami isteri apabila mereka dikurniakan cahaya mata pertama.

Bagi Noorul Izzah Marzuki, 45, dan suaminya, Mohd. Khairuddin, 52, kehadiran penyeri hidup yang diberi nama Sheikh Muhammad pada Oktober tahun lalu itu bukan sekadar pelengkap, tetapi merupakan ‘hadiah’ terbesar daripada Tuhan atas segala usaha yang mereka lakukan.

Sepanjang 19 tahun usia per­kahwinan, Noorul Izzah dan sua­minya menempuh pelbagai cabaran termasuk melakukan tiga kali rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dan dua kali permanian beradas (IUI).

Kesemua usaha dan rawatan itu yang menelan belanja puluhan ribu ringgit dilakukan sejak tahun 2013 secara berterusan sehinggalah kali terakhir mereka melakukan IVF pada tahun lalu.

Noorul Izzah yang bekerja sebagai juruaudit berkata, dia tidak pernah membayangkan akan diberi peluang bergelar ibu kepada Sheikh Muhammad, 3 bulan, pada usia 45 tahun.

“Sukar digambarkan de­ngan kata-kata selepas disahkan hamil. Sejujur­nya, kami terdiam lama. Rasa terkejut, syukur dan takut. Bagaikan tidak percaya doa yang dipanjatkan selama hampir dua dekad akhirnya dimakbulkan Allah,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad.

Walaupun sesekali lelah dan penat, kehadiran cahaya mata pertama itu mengajar Noorul Izzah dan suaminya tentang erti sabar, tanggungjawab dan percaya atas setiap usaha baik yang dilakukan.

“Rutin harian tidak sa­ma seperti dulu, tidur ti­dak menentu, masa lebih tertumpu kepada anak. Tetapi perubahan itu sangat indah.

“Rumah yang sebelum ini sunyi kini meriah dengan tangis dan tawa si kecil. Melihat suami memegang anak buat pertama kali begitu menyentuh hati saya. Rasa syukur dan bahagia,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 2006 dan sepanjang perkahwinan, Noorul Izzah pernah keguguran pada tahun 2007.

“19 tahun bukan satu perjalanan yang mudah. Kami belajar reda dan terima takdir Allah sambil berusaha,” katanya.

Lebih mencabar, Noorul Izzah dan suaminya yang sebelum ini dikategorikan obesiti perlu mencapai indeks jisim badan (BMI) sesuai sebelum menjalani rawatan IVF di Hospital Kuala Lumpur.

“Daripada berat badan le­bih 100 kilogram, kami berusaha menurunkannya dengan disiplin tinggi, perubahan gaya hidup dan kekuatan mental.

“Cabaran terbesar adalah mengurus emosi melihat pa­sangan lain yang dikurniakan cahaya mata, selain pertanyaan atau pandangan daripada orang sekeliling.

“Kami juga belajar menum­pang gembira atas rezeki yang diterima oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, sambil terus berharap dan kepercayaan kepada ketentuan Ilahi,” jelasnya.

Malah kata Noorul Izzah, kebanyakan ahli keluarga dan orang sekeliling sentiasa hadir memberi sokongan, namun tidak dinafikan ada juga kata-kata yang menyentuh perasaan daripada pihak luar.

Bagaimanapun, sokongan dari­pada suami menjadi kekuatan terbesar sepanjang perjalanan Noorul Izzah bergelar se­orang ibu.

“Sepanjang penantian cahaya mata ini, satu ayat yang se­ring suami ulangkan kepada saya ialah, ‘kalau Allah belum beri hari ini, bukan kerana Dia lupa. Tapi kerana Dia sedang siapkan yang terbaik untuk kita’.

“Dalam setiap kejatuhan, dia­lah yang sentiasa menguruskan semuanya tanpa pernah mengeluh termasuk proses rawatan, temu janji hospital hinggalah saat saya sendiri hampir hilang semangat.

Dia tetap tenang memujuk dan menguatkan saya.

“Sokongan dan pengorbanannya menjadi antara sebab utama saya mampu bertahan sehingga ke hari ini. Saya sangat bersyukur,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN