fbpx
AHMAD Fakhriy (kanan) dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Lenggong selepas mengaku bersalah memindahkan 120 ekor kambing tanpa kebenaran Pengarah DVS pada Ogos tahun lalu.

Pemandu lori didenda RM12,000 pindah 120 ekor kambing tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LENGGONG – Seorang pemandu lori didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Lenggong hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 120 ekor kambing tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak pada Ogos tahun lalu.

Ahmad Fakhriy Rosli, 26, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Ahmad Fakhriy selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Fakhriy didakwa telah memindahkan 120 ekor kambing dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan berhampiran papan tanda simpang Kampung Air Kala, Jalan Gerik-Lenggong, Lenggong pada pukul 12.17 tengah malam, 15 Ogos 2025.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452).

Mohd. Shazmeer kemudiannya menetapkan hukuman denda RM12,000 kepada tertuduh, gagal bayar enam bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan 120 ekor kambing berjumlah RM29,600 dilucuthak kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin manakala OKS diwakili peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN