SEREMBAN – Sebelum ini hampir setiap hari bergelut dengan tantrum dan emosi tidak terkawal, ini Muhammad Nur Raziq Muhammad Nur Qisti, 12, mampu duduk tenang selama hampir setengah jam mengatur strategi di papan catur.
Muhammad Nur Raziq, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi itu merupakan kanak-kanak dalam spektrum autisme dan kini berjaya melangkah lebih jauh dalam sukan catur, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan keluarga sebelum ini.
Ibunya, Nur Syazana Zakaria, 36, berkata penglibatan anak sulung daripada dua beradik itu bermula secara tidak sengaja pada pertengahan tahun lepas apabila guru mencalonkannya untuk menyertai Karnival Sukan PPKI.
“Masa cikgu beritahu nak hantar Raziq main catur, kami anggap sekadar suka-suka. Apabila guru maklumkan dia layak ke peringkat seterusnya, dari situ kami mula nampak kebolehan sebenar dia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Nur Syazana, cabaran utama anaknya dalam pertandingan catur adalag emosi mudah terganggu, terutama apabila permainan berlangsung lama.
“Catur biasanya ada tujuh atau lapan pusingan. Kadang-kadang Raziq minta balik seawal pusingan keempat. Pernah juga tinggal satu pusingan terakhir pun dia tetap nak balik dan berkeras,” katanya.
Situasi itu katanya, memerlukan kesabaran tinggi daripada keluarga serta jurulatih kerana Raziq mudah mengalami emosi tidak terkawal.
Mengimbas perkembangan anaknya itu, dia yang bekerja sebagai tukang masak berkata, anaknya itu sebelum ini berada dalam kategori gangguan spektrum autisme, tidak bercakap dan perlu mengambil ubat psikiatri setiap hari.
“Dulu hampir setiap hari tantrum dan kena makan ubat untuk tenangkan diri. Alhamdulillah, Raziq semakin baik dan sekarang diklasifikasikan sebagai autisme tahap ringan,” katanya.
Menurutnya, keupayaan Raziq untuk duduk fokus selama 20 hingga 30 minit bagi satu pusingan catur sudah cukup besar maknanya buat mereka.
“Bagi orang lain mungkin biasa, tapi bagi saya dan suami, anak yang dulu susah nak duduk diam, sekarang boleh habiskan satu permainan catur. Itu dah cukup buat kami rasa menang besar,” katanya.
“Ketika ini, saya dan suami meletakkan sasaran agar Raziq berjaya terpilih ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD), seterusnya ke Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) jika berpeluang,” katanya.















