TERJAWAB sudah misteri kehilangan Nadia Kesuma apabila suaminya, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah serta anak perempuanya mengesahkan pelakon itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada 15 Januari lalu kira-kira pukul 8.07 pagi dan akan dikebumikan di Jeddah.
Menurut anaknya, arwah dibawa ke Hospital King Fahad pada hari sama tiba di lapangan terbang.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham Nadia atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50. Semoga mereka tabah dan sabar dengan kehilangan besar ini.
Allahyarham Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz Jeddah pada 15 Januari lalu.
Berita kehilangan pelakon filem Syaitan Munafik itu mendapat perhatian meluas pelbagai pihak selepas dilaporkan media bahkah rakan artis yang rapat dengan arwah juga giat melakukan hebahan dalam media sosial dengan dengan harapan cepat ditemui. Masing-masing menyuarakan kebimbangan dan meminta orang ramai mendoakan keselamatan Nadia.
Pelakon yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah, antara individu terawal yang meminta bantuan rakan media menyiarkan berita kehilangan sahabat karibnya itu.
Tidak berpeluk tubuh, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut mengambil inisiatif dengan meminta bantuan Kementerian Luar Negeri untuk mengesan keberadaan Nadia. Perkara itu disuarakan Hafiz Nafiah selaku Setiausaha Agung Seniman Ketika bertemu Datuk Seri Mohamad Hasan.
Apa yang menarik perhatian penulis sepanjang mengikuti perkembangan kes ini, ramai mengakui tidak mengenali Allahyarham. Siapa Nadia Kesuma? Bahkan ada netizen menyangkakan arwah anak seni Indonesia berdasarkan namanya.
Walhal arwah sudah lama menceburi dunia lakonan cuma mungkin kerana jarang wajahnya keluar di kaca televisyen, maka ramai tidak perasan akan kewujudannya.
Hakikatnya, Allahyarham Nadia aktif dengan kerja-kerja kebajikan bahkan beliau merupakan Ahli Jawatankuasa GTAS.
Menurut Anne Abdullah, sahabatnya itu insan yang berjiwa besar, prihatin dan suka bersedekah. Pendek kata, pemergiannya dengan meninggalkan 1,000 kebaikan yang akan terus dikenang mereka yang pernah mengenalinya.
Kongsi Anne lagi, Ketika sama-sama menunaikan umrah pada 2022, Nadia pernah menyuarakan keinginan untuk meninggal dunia di Tanah Suci. Malah pelakon drama Seoul Cinta itu sentiasa meluahkan rasa teruja untuk ke sana lagi.
Dan, barangkali asbab kebaikannya jugalah hasrat serta doa Allahyarham dimakbulkan Ilahi. Jeddah menjadi destinasi terakhirnya di dunia dan pengakhiran yang indah ini sedikit-sebanyak mencuit hati kita untuk merenung diri. Cukup baikkah kita? Bagaimana pula pengakhiran kita nanti?
Semoga Allahyarham Nadia Kesuma ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin…














