KLANG – Ayam, daging dan sayur antara bahan basah yang sedang dinilai untuk dimasukkan dalam produk baharu pembelian Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara pertimbangan perlu dibuat termasuk dari aspek kesegaran agar rakyat membeli barangan berkualiti tanpa kompromi.
“Kita kena pastikan rakyat beli barang berkualiti dan berkeadaan baik. Tidak boleh barang yang lapuk dijual oleh pihak kedai.
“Perluasan produk ini salah satu usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMK) (P) Bukit Kuda di sini hari ini.
Beliau menambah, perluasan barangan juga akan merangkumi kepada penggunaan harian seperti ubat gigi berbanding barangan asas sebelum ini.
Malah kata Amir Hamzah, produk buatan Malaysia juga akan diperbanyakkan untuk disertakan dalam Sara selaras dengan hasrat kerajaan ketika ini.- KOSMO! ONLINE














