PETALING JAYA – Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tahun lalu menunjukkan kadar perbelanjaan hampir 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia sekali gus membuktikan keberkesanan mekanisme bantuan itu.
“Pada tahun ini, sasaran kedai runcit kecil yang terlibat dalam program Sara akan ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir 2025. Langkah ini bukan sahaja memudahkan penerima, malah membantu merangsang ekonomi setempat serta menyokong
perniagaan kecil dan sederhana,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu, Tunku Nashrul berkata, Kerajaan Madani komited mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan meneruskan pelaksanaan Sara dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan peruntukan RM15 bilion.
Menurut beliau, ia merupakan peruntukan tertinggi setakat ini yang akan memanfaatkan kira-kira 9 juta penerima.
Kata beliau, bagi Sara Bulanan 2026, penyaluran bermula pada 9 Januari 2026 melibatkan 5 juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.
“Mulai hari ini, 16 Januari 2026, penyaluran diteruskan kepada 3.1 juta penerima kategori bujang.
“Secara keseluruhan, Sara Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE














