SHAH ALAM – Penjual permaidani diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.4 kilogram (kg), enam tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ali Sajjad, 34, yang merupakan warga Pakistan, di akhir kes pendakwaan.
Latifah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen antaranya barang kes dirampas iaitu dadah termasuk dalam akta berbahaya yang disahkan ahli kimia.
“Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan, dan milikan terhadap dadah tersebut dengan jelasnya apabila dijumpai di dalam rumah sewa tertuduh yang membuktikan tertuduh mempunyai ‘exclusive power of deal’.
“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan berkenaan dadah tersebut apabila dijumpai di tempat tersembunyi dalam almari dengan SP2 (anggota polis) tidak akan diketahui tanpa dipandu arah oleh tertuduh sendiri,” katanya.
Mahkamah turut mendapati tertuduh mengedar dengan menemukan sejumlah dadah dalam kuantiti yang besar dan tidak memungkinkan untuk kegunaan tertuduh sendiri.
“Malah kredibiliti enam saksi pendakwaan tidak tercemar, konsisten serta saling menyokong antara satu sama lain dan wajar diterima mahkamah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Ali didakwa mengedar kanabis seberat 1,404.43 gram di sebuah premis di Seri Kembangan pada 4 Disember 2020. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. Pihak pendakwaan mengemukakan enam saksi sepanjang perbicaraan bermula 10 April 2025, manakala Ali diwakili Peguam Thamarah Sudhir. Prosiding pembelaan akan berjalan esok. – KOSMO! ONLINE














