TANGIER – Sadio Mane sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat Mohamed Salah apabila jaringan lewatnya menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Mesir, sekali gus membawa Senegal mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi tadi.
Kejayaan itu mengulangi skrip final 2021 apabila Mane membantu Teranga Lions menundukkan Mesir menerusi sepakan penalti, keputusan yang terus memanjangkan penantian Salah untuk menjulang mahkota AFCON.
Kali ini, tiada drama penalti diperlukan apabila Mane, pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika, melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-78 sekali gus memecah kebuntuan di Grand Stade de Tanger.
Jaringan tersebut mencetuskan sorakan lega penyokong Senegal selepas menyaksikan pasukan mereka menguasai perlawanan, namun bergelut menembusi benteng kebal Mesir yang bertahan hampir sepanjang 90 minit.
Pertahanan Senegal, Moussa Niakhate menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil mutlak tekanan berterusan yang diberikan pasukannya.
“Kami benar-benar layak menang. Kami menekan mereka, tidak memberi ruang untuk mereka bermain dan pada masa sama memastikan kami tidak terperangkap. Akhirnya, dengan tekanan berterusan, gol itu hadir,” katanya.
Kejayaan itu membawa Senegal ke final menentang tuan rumah, Maghribi di Rabat pada Ahad ini dalam pertembungan dijangka menjadi penentuan antara dua kuasa besar Afrika ketika ini.
Bagaimanapun, kemenangan tersebut dibayar dengan harga mahal apabila kapten pasukan, Kalidou Koulibaly dikeluarkan seawal minit ke-23 akibat kecederaan dan terpaksa menamatkan kempen AFCON lebih awal.
Sebelum gol Mane, Senegal lebih agresif dengan beberapa percubaan berbahaya, manakala Mesir gagal mencatat sebarang percubaan tepat sasaran yang menyaksikan Salah sekali lagi terpaksa menelan hakikat pahit di pentas Afrika. – AGENSI














