JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman pegawai syariah dan peguam syarie bagi membantu siasatan kes rasuah pengeluaran Perintah Pengesahan Hibah bagi tujuan pertukaran hak milik harta.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari itu dikeluarkan Majistret Ahmad Khairuddin Khalid selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Sesyen di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, dua suspek berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan secara berasingan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 8 malam semalam.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima rasuah berjumlah RM91,000 sebagai balasan membantu mengeluarkan Perintah Pengesahan Hibah. Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak 2016 hingga 2018 melibatkan beberapa kes berkaitan pertukaran hak milik harta,” katanya.
Sumber berkata, wang tersebut dipercayai diterima secara tunai daripada 13 individu yang bertindak sebagai penerima hibah. Setiap penerima dipercayai menyerahkan RM7,000 bagi melancarkan proses dokumentasi dan pengesahan hibah.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya individu lain yang terlibat dalam sindiket tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan dan amanah demi kepentingan peribadi,” katanya.-KOSMO! ONLINE














