GUA MUSANG – Seorang lelaki tidak menyangka rakaman video tular kemalangan tiga maut antara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van di Kilometer (KM) 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini hari ini rupa-rupanya melibatkan abang iparnya sendiri.
Mohd. Shahril Razali, 30, berkata, dia menonton video berkenaan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di aplikasi TikTok, Facebook dan WhatsApp.
Katanya, abang iparnya, Allahyarham Nik Azmi Nik Othman, 47, merupakan bekas tentera di Kem 506, Askar Wataniah Pengkalan Chepa berpangkat Pegawai Waran 1 dan berpencen pada 2024 selepas berkhidmat 26 tahun.
“Nik Azmi atau mesra dengan panggilan Pok Nik bekerja di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira setahun lalu. Saya menonton video kemalangan yang tular dan tidak menyangka abang ipar berada dalam kenderaan MPV berkenaan.
“Kira-kira pada pukul 5 petang, isteri arwah, Siti Safila Mat Jusoh, 40, menghubungi saya dan memaklumkan Pok Nik sudah meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, bapa mentua arwah Nik Azmi, Mat Jusoh Muda, 76, berkata, dia terkejut selepas anak perempuan ketiga, Siti Safila menghubunginya dan mengatakan arwah sudah meninggal dunia dalam kemalangan.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah pada minggu lalu ketika dia pulang ke rumah di Felda Chiku 3. Arwah ketika itu tidak banyak bercakap seperti selalu dan tergesa-gesa ingin pulang,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, hasrat seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api bersama tiga pekerja untuk menghadiri kursus di ibu negara tidak kesampaian apabila lelaki itu dan dua anak buahnya maut dalam nahas di KM 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat RKT Kesedar Paloh di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














