GUA MUSANG – Penurunan suhu sehingga 19 darjah Celsius terutama pada waktu malam hingga awal pagi sejak beberapa hari lalu membuatkan penduduk di Kampung Bertam Baru dan Bertam Lama di sini merasakan mereka seolah-olah berada di Tanah Tinggi Lojing.
Cuaca sejuk di kawasan tersebut adalah fenomena normal dirasakan penduduk kerana kedua-dua kampung itu terletak di kawasan bukit-bukau, namun suhu sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai luar biasa.
Seorang penduduk Kampung Bertam Baru, Naim Sulaiman, 64, berkata, cuaca sejuk itu membuatkan kebanyakan penduduk di kawasan itu terpaksa berselimut tebal menjelang waktu pagi selain mandi dengan air panas.
Katanya, keadaan sejuk di kawasan ini bukan sesuatu yang pelik memandangkan kampung tersebut berdekatan dengan bukit, namun fenomena sejuk yang berlaku lima hari lalu ternyata agak luar biasa kerana mencecah 19 Celsius.
“Situasi itu seperti kami berada di kawasan tanah tinggi waktu pagi. Kami juga terpaksa pakai selimut tebal ketika tidur. Pada pagi pula, anak-anak bangun lewat untuk mandi selain perlu menggunakan air panas,” katanya.
Sementara itu, penduduk lain, Hasnah Jusoh, 48, berkata, udara sejuk menyebabkan sumber air di kawasan rumahnya lebih sejuk daripada biasa sehingga dirinya menggigil ketika mandi.
“Saya sekeluarga menggigil kesejukan ketika mandi kerana air begitu sejuk sejak beberapa hari lalu.
“Cuaca ini hampir seminggu lalu menyebabkan saya tidak perlu memasang kipas pada waktu malam dan awal pagi. Lantai simen rumah juga terasa dingin seakan berada di dalam peti ais,” katanya.
Cuaca sejuk luar biasa melanda Kelantan apabila kebanyakan jajahan di negeri itu merekodkan suhu rendah sekitar 19 darjah Celsius sejak semalam sekali gus mencuri perhatian ramai penduduk.
Menurut pemerhatian dan perkongsian penduduk tempatan, keadaan sejuk itu bukan sahaja dirasai pada waktu malam, malah berlarutan hingga awal pagi, menyebabkan sebahagian kawasan mencatat suhu harian sekitar 21 hingga 22 darjah Celsius sepanjang minggu ini.














