PUTRAJAYA- Proses pemulihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat patah tulang pinggul dijangka mengambil masa lama ekoran faktor usia.
Pegawai Pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Sufi Yusoff berkata, selain itu, rawatan terbaik terhadap beliau juga diputuskan secara fisioterapi tanpa pembedahan.
“Setelah berbincang dengan doktor pakar di IJN, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur, diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya.
“Mengambil kira faktor usia Dr. Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini sebentar tadi.
Sufi berkata, Tun M masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh pada 6 Januari lepas di kediamannya di The Mines.
“Dr. Mahathir dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.
“Buat masa ini juga, Dr. Mahathir tidak dibenar menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














