GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kerjasama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menghantar sebanyak 6.8 tan atau 383 bakul makanan kepada keluarga Orang Asli di Pos Gob dan Pos Bihai yang terjejas akibat musim Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Ketua Pengarah Jakoa (Perancangan dan Pengurusan), Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata, operasi yang dirancang sehingga hari ini terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan penghantaran bantuan melalui udara dan selaras dengan nasihat pihak JBPM.
Katanya, Jakoa merancang untuk menghantar sebanyak 956 bakul makanan dengan anggaran berat lebih 17 tan bagi manfaat 3,824 penduduk Orang Asli di 43 buah Kampung Orang Asli pedalaman Gua Musang menggunakan sebuah helikopter JBPM bermula Selasa lalu.
“Penghantaran baki sebanyak 573 bakul makanan diselaraskan bersama pihak JBPM dalam masa terdekat bergantung kepada keadaan cuaca semasa. Penduduk Orang Asli di pedalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain akibat hujan berterusan yang telah menyebabkan jalan perhubungan sedia ada rosak teruk sehingga tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Lebih memburukkan keadaan paras air sungai di sesetengah kawasan penempatan telah meningkat dengan mendadak sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri dan keluarga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Saiful Zahlan memberitahu, Jakoa telah membelanjakan hampir RM1.72 juta sepanjang tahun lalu bagi pembekalan bakul makanan kepada semua penduduk Orang Asli di Semenanjung Malaysia.- KOSMO! ONLINE














