Sudah seminggu kita berada dalam tahun 2026. Walaupun sudah masuk tahun baharu, saya percaya ramai yang belum ‘masuk gear’ kerana masih bercuti memandangkan cuti sekolah penggal akhir masih berbaki beberapa hari lagi.
Minggu depan, sesi persekolahan 2026 akan bermula. Tahun ini, kalendar akademik Kementerian Pendidikan (KPM) kembali kepada takwim asal iaitu Januari. Sebelum ini sesi persekolahan bermula pada Mac selepas mengalami perubahan disebabkan pandemik Covid-19.
Inisiatif dan langkah untuk mengembalikan semula Kalendar Akademik KPM kepada Januari dilakukan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengelakkan pengoperasian sekolah terganggu.
Jadi tahun ini ibu bapa ada ruang untuk bernafas selepas banyak mengeluarkan belanja untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak bulan ini.
Selepas ini mereka akan menyediakan persiapan untuk menyambut bulan Ramadan dan dua perayaan besar iaitu Tahun Baharu Cina pada Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada Mac.
Kelmarin Kosmo! melaporkan seorang pengusaha kedai emas terpakai di Johor memaklumkan sepanjang musim cuti sekolah yang bermula pada 19 Disember lalu, premisnya dikunjungi pelanggan yang mahu menjual semula barang kemas mereka.
Ada pelanggan yang menjual semula aksesori emas seperti rantai, gelang, cincin dan gold bar bagi mendapatkan wang tunai segera untuk membeli barangan persiapan persekolahan anak-anak.
Bagi ibu bapa yang memiliki lebih dua anak yang bersekolah, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM800 untuk membeli barangan kelengkapan penting seperti buku sekolah, pakaian dan yuran. Jumlah itu tidak termasuk tambang van sekolah dan tempat transit yang biasanya diperlukan bagi golongan ibu bapa yang bekerja.
Jadi langkah menjual semula atau menggadai emas menjadi jalan pintas untuk mendapatkan wang.
Namun ada juga pelanggan yang menjual emas bagi mendapatkan instant cash untuk pergi bercuti. Malah tinjauan di media sosial mendapati kedai emas lain turut dikunjungi pelanggan yang menjual emas mereka untuk pergi bercuti. Penulis garu kepala.
Memang betul tindakan jual emas itu lebih baik daripada berhutang rakan, membuat pinjaman bank atau perkhidmatan ‘buy now pay later’, tetapi percutian tersebut bukanlah satu keperluan.
Emas sama ada dalam bentuk perhiasan, bar atau syiling merupakan aset pelaburan terbaik. Harga emas terkini semalam bagi gred 916 adalah RM586 segram, manakala 999 pula sebanyak RM630.
Nilai logam berharga itu meningkat saban tahun. Jadi ia tidak wajar diusik kecuali dalam keadaan terdesak atau kecemasan. Jika keadaan kewangan tidak mengizinkan, pergilah bercuti atau healing mengikut bajet poket sendiri.
Masih banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati dan tidak memerlukan ‘bajet keras’ di negara kita. Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Jangan kerana seronok yang sementara selepas ini terpaksa meminjam di sana sini. Berpada-padalah.














