PETALING JAYA – Perbuatan murni seorang lelaki tidak mengambil bayaran sewa rumah pada bulan ini daripada penyewanya mendapat pujian orang ramai.
Menerusi perkongsian di Thread, lelaki tersebut berkata, dia berbuat demikian selepas penyewanya meminta untuk membayar sewa secara ansuran bulan ini kerana memerlukan belanja besar untuk persediaan sekolah anak-anak.
“Penyewa ini sudah tiga tahun jaga rumah saya, baru kali ini dia minta begini. kita permudahkan urusannya, semoga doa beliau diangkat ke atas. Pada ibu bapa di luar sana, saya doakan awak semua kuat dan tabah dipermudah segalanya,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan lelaki tersebut.
“Baiknya hati awak, sedih saya baca. Semoga doa awak pun Allah kabulkan, insya-Allah banyak pahala bersedekah. Semoga rezeki awak laju macam air terjun dan tak putus-putus macam air zamzam, amin,” kata Nor Sabariah.
“Tuan rumah dari syurga…Semoga dipermudah segala urusan tuan rumah dan penyewa dan Moga Allah lipat gandakan lagi rezeki tuan rumah,” kata Nydyhnr.
“Besar maknanya bagi penyewa itu, dalam berkira-kira keperluan yang mendesak encik permudahkan urusan beliau,” kata Ketpro. – KOSMO! ONLINE














