PUTRAJAYA – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 7 petang tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi tadi.
Azam memaklumkan, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri petang semalam kerana disyaki bersubahat melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta berkaitan kes sama.
Menurutnya, sepasang suami isteri itu bagaimanapun telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Hafizuddeain hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 3 petang tadi bagi membantu siasatan mengenai kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Hafizuddeain dilihat memasuki ibu pejabat SPRM bersama beberapa individu dipercayai peguam serta diiringi pegawai SPRM.
Media sebelum ini melaporkan, Hafizuddeain kini sedang disiasat SPRM berhubung dakwaan aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, pegawai kanan tentera itu suspek dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak 28 Disember lalu namun, sudah pun dibenarkan keluar semalam.
SPRM sebelum ini memaklumkan, pegawai berkenaan dikehendaki memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Difahamkan, siasatan SPRM tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun pegawai itu dipercayai membabitkan kes rasuah projek perolehan TDM. – KOSMO! ONLINE














