PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Abd. Halem mengingatkan orang ramai agar tidak berlebihan dalam memberikan komen selain tampil mempertahankan tindakan sahabatnya yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Mohd. Noor Helmy menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, tindakan Dr. Muhamad Akmal tersebut adalam merupakan pilihannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.
“Pada yang berlebihan balun Akmal di ruang media sosial aku, adalah pilihan aku nak block, nak delete atau hide. Jika aku pilih jawab komen, kita sama-sama jangan kecik hati. Chill-chill je la***at.
“Aku ini produk yang dihasilkan oleh kilang Pemuda UMNO dan aku dengan Akmal (Dr. Muhamad Akmal) ini sudah bersahabat dari kami tiada jawatan apa pun. Jangan berkokok berlebihan,” katanya.
Beliau turut memuat naik gambarnya bersama Dr. Muhamad Akmal pada hantaran sama.
Terdahulu, hantaran terbaru Dr. Muhamad Akmal di media sosial hari ini mencetuskan tanda tanya seolah-olah memberi bayangan untuk mengundur diri daripada jawatan yang disandangnya itu.
Menerusi hantaran berkenaan, Dr. Muhamad Akmal menyatakan bahawa segala usaha telah dilakukan sehabis baik selain mengakui kemungkinan kelemahan berpunca daripada dirinya sendiri.
Sehubungan itu, netizen membanjiri ruang komen di media sosial Mohd. Noor Helmy dengan komen-komen kecaman. – KOSMO! ONLINE














