BANGKOK – Tentera Thailand hari ini menyatakan bahawa Kemboja memberi alasan tembakan rentas sempadan yang baru berlaku adalah tidak disengajakan, selepas Bangkok menuduh Phnom Penh melanggar gencatan senjata selama 10 hari, dengan serangan mencederakan seorang askar Thai.
“Kemboja melanggar gencatan senjata pagi tadi,” kata tentera Thailand dalam satu kenyataan, menuduh tentera Phnom Penh menembak peluru mortar ke wilayah Ubon Ratchathani di Thailand.
Seorang askar Thai cedera terkena serpihan dan dipindahkan untuk rawatan perubatan.
Tentera Thailand menambah, pihak Kemboja menghubungi unit tentera Thai dan mendakwa bahawa Phnom Penh tiada niat untuk menembak ke dalam wilayah Thai dan insiden itu disebabkan oleh kesilapan operasi oleh askar Kemboja.
“Tentera Thai di kawasan itu memberi amaran kepada tentera Kemboja supaya lebih berhati-hati dan menekankan bahawa jika insiden serupa berulang, Thailand akan melancarkan tindakan balas,” kata kenyataan sama.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, kerajaannya telah membuat protes kepada Phnom Penh, ‘menyatakan bahawa gencatan senjata telah dicabuli’.
Kedua-dua negara bersetuju mengadakan gencatan senjata pada 27 Disember lalu sekali gus menamatkan pertempuran selama tiga minggu.
Pertikaian berpuluh-puluh tahun antara dua jiran Asia Tenggara itu bertukar menjadi pertempuran sengit beberapa kali pada tahun lalu, dengan pertempuran Disember lepas menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan satu juta orang hilang tempat tinggal di kedua-dua belah pihak. – AFP














