PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan sistem bioflok merupakan kaedah ternakan ikan moden yang berpotensi tinggi khususnya bagi spesies tilapia dan ikan keli yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Menurut beliau, sistem berkenaan bukan sahaja lebih terurus dan mesra alam, malah mampu menjana pendapatan yang stabil serta mampan jika diusahakan secara serius dan berdisiplin.
“Anak-anak muda jangan takut untuk menceburi bidang perikanan moden.
“Teknologi seperti bioflok membuktikan sektor ini bukan lagi kerja tradisional semata-mata, sebaliknya satu industri berdaya saing dan menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan belia memanfaatkan Program Agropreneur NextGen yang diperkenalkan KPKM bagi membantu usahawan muda memulakan atau mengembangkan projek pertanian dan perikanan.
Melalui program berkenaan, belia layak memohon geran Start-Up sehingga RM30,000, manakala geran Scale-Up pula sehingga RM50,000, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Tambah beliau, proses permohonan juga mudah apabila hanya perlu mendaftar melalui portal eGAN dan dibuka sepanjang tahun tanpa had tempoh tertentu.
“Kalau ada minat menternak tilapia atau keli menggunakan sistem bioflok, inilah masa terbaik untuk mula melangkah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














