KUANTAN – Tanah yang berubah menjadi laut akibat hakisan pantai masih boleh kekal menjadi milik individu yang sama.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Azriana Ridouan berkata, setakat ini, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang tanah yang berubah menjadi laut daripada diiktiraf sebagai hak milik.
Oleh itu, katanya, pemilik Chalet Kekunang di Nenasi, Pekan, yang kehilangan chalet selepas tenggelam akibat hakisan pantai, mungkin menjadi antara individu yang akan memiliki hak milik laut di negara ini.
Bagaimanapun, Edde Firdaus Abdul Aziz, 46, perlu memperbetulkan semula geran milikan tanah di pejabat tanah dan daerah.
“Dalam kanun tanah negara menyatakan tasik boleh menjadi hak milik kita sebab asalnya tanah dan selepas itu menjadi tasik. Tanah kalau kita beli dengan tasik-tasik itu adalah milik kita.
“Jadi laut juga boleh jadi milik Edde Firdaus misalnya, sebab asalnya ia adalah tanah dan kini menjadi laut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Azriana, bagaimanapun, pemilik terbabit perlu memperbetulkan gerannya termasuk ukuran, rajah dan perkara berkaitan, bersesuaian dengan keadaan pemilikannya ketika ini.
Dalam isu itu, katanya, pemilik tanah mempunyai hak dan sekiranya kerajaan mahu mengambil alih tanah tersebut, bayaran bersesuaian perlu diberikan kepada pemilik.
Kosmo! semalam melaporkan luahan seorang pengusaha chalet yang terkesan akibat tanah yang dibina premis penginapan itu kini menjadi lautan.
Edde Firdaus yang juga dikenali sebagai Pak Yus berkata, dia membeli tanah seluas 1.4 hektar berharga RM350,000 sebelum membangunkan Chalet Kekunang pada tahun 2016.
Bagaimanapun, lebih separuh atau satu hektar daripada keluasan tanah miliknya telah lenyap menjadi laut dan kini keluasannya tinggal kurang daripada 0.4 hektar.














