PETALING JAYA – Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang menggariskan perundangan bagi meningkatkan keselamatan serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga, berkuat kuasa hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Bagaimanapun, katanya, ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu.
“ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.
“Ia termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah seksyen 46A, AKM 1998 turut berkuat kuasa hari ini.
“Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA,” ujarnya.
Jelas MCMC, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian. – KOSMO! ONLINE














