fbpx
DUNIA anak seni 2025 menutup tirai dengan variasi emosi, suka duka dan ada juga pertelingkahan belum selesai. Tidak semudah buang yang keruh ambil yang jernih, semoga esok mentari 2026 muncul dengan sinar baharu, menjauhkan segala badai menghadirkan seribu rahmat.

Rangkuman 2025: 10 momen menggelegak dunia anak seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2025 menjadi pentas hangat membara dan menyala dari setiap sudut dunia hiburan. Dari kisah cinta tersimpul indah, kontroversi menggoncang dada peminat hinggalah drama viral, semuanya menjadikan industri seni tempatan mengalir bagai lahar mendidih.
HibGlam menghimpunkan barisan selebriti dan isu panas meledak yang menjadi bahan bualan seantero negara sepanjang tahun ini.

Kejutan amang seksual Naim Daniel

Naim Daniel pula menggemparkan seluruh industri hiburan tahun ini dengan dakwaan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 17 Jun, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim. Dia dibenarkan ikat jamin dengan beberapa syarat ketat termasuk menyerahkan pasport dan dilarang menghampiri saksi.
Naim sebelum itu ditahan pada 3 Jun untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis sekali gus menjadikan kes tersebut kekal antara episod paling hangat dalam dunia seni sepanjang 2025.

Shila Amzah vs Amy Search

Pertelagahan antara dua bintang muzik tanah air iaitu Shila Amzah dan Amy Search menjadi satu lagi episod panas dalam industri hiburan.
Shila mendakwa diserang secara lisan oleh seorang bintang rock legenda ketika sesi latihan di Stadium Merdeka dan bertindak melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Beberapa hari kemudian, Shila mendedahkan lelaki dimaksudkannya adalah Amy Search, malah vokalis kumpulan Search itu turut dipanggil polis bagi melengkapkan siasatan. Difahamkan punca pertelingkahan bermula dengan rasa tidak puas hati Amy terhadap penyanyi lagu Patah Seribu itu yang didakwa mencampuri urusan keluarganya. Insiden membabitkan dua nama besar itu antara paling hangat dalam kalendar hiburan 2025.

Fenomena BASS masih ‘menggila’

BUKAN perkara baharu tetapi kegilaan ramai terhadap Bella Astillah dan Syed Saddiq sehingga menerima gelaran BASS membuatkan fenomena mereka masih lagi panas dalam media sosial. Sepanjang tahun ini, Bella dan Syed Saddiq kerap digandingkan bersama sebagai duta beberapa jenama dan produk tempatan.

Walau dilihat akrab dan saling menemani ke beberapa acara, mereka masih belum mengesahkan status hubungan sama ada sedang menjalin hubungan cinta atau sekadar teman rapat.Hubungan Syed Saddiq dengan dua anak Bella iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna juga antara yang sering mencuri tumpuan serta menjadi bahan bualan ramai.

Fattah, Amira akhirnya bersatu

Tidak ketinggalan dalam carta meledak mendidih 2025 adalah pasangan sensasi Fattah Amin dan Amira Othman.
Sejak kemunculan mereka dalam muzik video Bila Nak Kahwin, aura keserasian kedua-duanya mengundang gelombang tular, ditambah pula jenama besar mula memadankan mereka sebagai duta bersama.

Namun, setiap kali diajukan persoalan hati, kedua-duanya tetap teguh menyatakan hubungan mereka sekadar rakan sekerja.
Ternyata jodoh tidak pernah salah alamat. Pada 14 September lalu, pasangan itu selamat disatukan dalam majlis tertutup di sebuah resort mewah di Sepang.

Mulut ‘bocor’ penyampai 3 pagi Era

TIGA penyampai Era FM, Nabil Ahmad, Radin, dan Azad Jasmin (Pak Azad) digantung tugas pada Mac lalu susulan video kontroversi didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu. Selepas dikecam hebat dan mencetuskan kemarahan ramai, mereka membuat permohonan maaf secara terbuka dan siasatan dalaman dilakukan Astro sebelum merehatkan tiga deejay radio itu selama sebulan.

Rentetan itu, enam individu termasuk tiga penyampai radio hadir memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. Juga diarahka membayar kompaun RM250,000 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Question Dolla panas

Kumpulan Dolla meletup hangat bak mercun tahun baru apabila video muzik (MV) terbaharu mereka berjudul Question mencetus spekulasi tanpa henti. Paparan provokatif MV tersebut menjadi perdebatan hangat dalam media sosial sehingga mencetuskan perang budaya moden dan konservatif.

Ketegangan memuncak selepas seorang pendakwah terkenal menegur penampilan seksi kumpulan tersebut, disusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang meneliti semula garis panduan pemakaian selebriti Islam.
Isu itu berkembang pantas, bahkan menimbulkan perbincangan luas mengenai kebebasan berkarya dan sensitiviti penonton.
Akhirnya, Universal Music Malaysia membuat keputusan memadam muzik video tersebut dari YouTube.
Begitupun, isu itu meninggalkan ‘parut’ yang sukar dilupakan dan terus menjadi sebutan hingga kini.

Konsert GenKRU mendunia

JIKA dinilai semula semua penganjuran konsert sepanjang tahun ini, konsert GenKRU yang berlangsung selama empat hari di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu antara yang paling sukses. Konsert ‘comeback’ kumpulan trio yang popular dengan lagu Awas itu turut menerima pengiktirafan ‘Most Shows in a Single Concert Series’ (4 malam di Axiata Arena) dan ‘Most Concert Tickets Sold Out in an Hour’ (8,000 tiket terjual dalam sejam).Pada November lalu, mereka sekali lagi muncul dengan konsert penutup GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Juang artis Global Sumud Flotilla

SIAPA sangka, tekad 23 delegasi Malaysia termasuk empat selebriti tanah air iaitu Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) menjadi satu fenomena luar biasa pada Oktober lalu. Meski perjuangan mereka yang mahu menghantar bekalan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan terkandas selepas dipintas, ditahan dan menerima layanan teruk tentera Israel, usaha murni mereka terus diangkat serta menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kepulangan mereka ke tanah air selepas berlayar selama sebulan disambut meriah termasuk diraikan dalam sebuah acara gilang-gemilang yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

11 tahun solo, Erra Fazira temui jodoh

Tidak kurang panas membara kisah aktres Erra Fazira dan ahli perniagaan Ezwan Zain, dua nama yang mencuri tumpuan sejak tular klip video mereka ketika siaran langsung dalam media sosial. Kesudian Erra, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, mempromosikan kafe Ezwan menambah ‘rempah’ pada desas-desus hubungan istimewa mereka.

Dalam satu tempoh, media sosial kecoh selepas Erra memuat naik ucapan berbaur romantis sehingga ramai mendakwa dia sedang dilamun cinta malah pemain industri seakan-akan tahu sesuatu bakal terjadi, cuma menunggu masa. Tepat 2 Disember lalu, Erra menitiskan air mata ketika mengumumkan tarikh hari bahagianya. Menamatkan teka-teki, pada 12 Disember lalu, Erra dan Ezwan sah bergelar suami isteri dalam majlis gilang-gemilang sehingga digelar sebagai ‘Wedding of the Year’.

Uqasha, Kamal berantakan

PALING menggegarkan industri hiburan tahun ini apabila Uqasha Senrose memfailkan perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.
Uqasha memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan menjaga kesihatan mentalnya.

Sementara Kamal pula tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak November 2021. Dalam kemelut rumah tangga, muncul pelbagai isu lain termasuk Uqasha mempersoal mengenai kekeliruan tarikh nikah dan menggunakan khidmat ‘coach cerai’.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN